Selangorkini
Penduduk mengenakan topeng muka ketika membeli-belah di pasar raya di Codogno, Milan pada 11 Mac 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

Zon merah: Warga Malaysia di Rom dapat topeng muka, serunding

MANCHESTER, 12 MAC: Ketika Itali bergelut untuk membendung penularan Covid-19, Kedutaan Malaysia di Rom menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas berikutan langkah ‘pengasingan’ di dalam bandar yang mereka diami.

Difahamkan bantuan dihulurkan memang benar-benar memaparkan Hospitaliti Malaysia yang antaranya mengandungi cecair pembasmi kuman, tisu basah, disinfektan, penutup hidung dan mulut, produk Maggi, dodol durian, serunding dan rendang Brahim’s.

Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Politik) Kedutaan Malaysia di Rom, Zebine Nissa Sarfraz ketika dihubungi mengesahkan kepada Bernama mengenai bentuk bantuan yang dihulurkan dan pihak kedutaan sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia di sana.

“Terdahulu, ada 11 zon merah yang diumumkan Kerajaan Itali. Ada penuntut Malaysia didapati duduk dekat zon merah tetapi masih di luar zon berkenaan. Pihak kedutaan mengagihkan pakej bantuan kepada rakyat Malaysia yang tinggal di dalam zon merah, katanya menerusi e-mel.

Ditanya sama ada pihak kedutaan akan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia mengenai apa yang berlaku di Itali, beliau berkata dalam situasi sekarang pihak kedutaan cuba mengelak daripada menganjurkan sebarang perhimpunan.

“Bagaimanapun, kami masih mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk datang ke sini mendapatkan bantuan, terutamanya perkhidmatan konsul. Lebih penting, kami mahu mendekati rakyat Malaysia di sini. Kami juga mahu mereka mendekati kami,” katanya.

Pada Rabu, Itali mengumumkan semua kedai kecuali farmasi dan kedai menjual makanan di dalam negara yang mempunyai lebih 60 juta penduduk itu, akan ditutup selepas kes Covid-19 meningkat kepada 12,462 daripada tiga kes dalam tempoh kurang daripada tiga minggu.

Penyakit itu mengorbankan 827 orang di Itali.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik, satu penyakit yang cepat merebak dengan 126,000 orang dikesan di 114 negara setakat ini.

Semenjak penularan wabak itu, lebih daripada 4,600 orang meninggal dunia, 3,000 daripadanya di China sahaja.

-BERNAMA


Pengarang :