Orang ramai mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika membeli barangan keperluan harian di Pasar Kajang pada 19 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

21 pasar segar terkawal dalam proses dilulus PBT, MKN Negeri

KUALA LUMPUR 7 APRIL: Sebanyak 21 pusat Pasar Segar Terkawal (PST) yang dirancang masih dalam proses kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri untuk beroperasi berikutan lokasi itu terletak dalam zon merah dan zon kuning jangkitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah berkata daripada keseluruhan 97 pusat PST yang mahu dibuka, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diperuntukkan 63 lokasi di seluruh negara melibatkan 10 pasar tani terpilih, 33 pasar tani kekal, 17 pusat operasi Fama dan tiga cawangan MyFarm.

Katanya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pula menyediakan 34 Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (KPPK) untuk tujuan yang sama.

“Sehingga 6 April 2020, 42 tempat Fama di seluruh Malaysia beroperasi iaitu 17 Pusat Operasi Fama, 21 Pasar Tani Kekal, tiga MyFarm Outlet dan satu lokasi Pasar Tani Terpilih. Baki 21 outlet PST dalam proses kelulusan PBT dan MKN Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke pusat operasi Fama di Batu 13, Jalan Klang Puchong yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Fama Datuk Abdul Ghariff Ramin, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Fama Mohd Anis Yasin dan Pengarah Komunikasi Korporat Fama Mohd Anzara Azizan.

Katanya, petani yang mempunyai masalah untuk memasarkan hasil pertanian mereka boleh menghubungi pusat operasi FAMA di 17 lokasi di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan sebanyak 97 pusat PST akan beroperasi di seluruh negara, secara berperingkat-peringkat sehingga 14 April ini, bagi memastikan kelangsungan bekalan dan mempercekap pengedaran makanan negara.

PST adalah gerai peruncitan Fama dan LPP, seperti pasar tani yang dijenamakan semula.

Ahmad berkata dalam pematuhan pencegahan wabak Covid-19 di 97 pusat PST, jarak sosial antara gerai berniaga dilakukan dan pintu masuk dan keluar akan dikawalselia oleh polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kempen kesedaran mengenai 12 Langkah Pencegahan wabak Covid-19 untuk pengunjung dan usahawan juga diperbanyakkan dengan adanya bahan infografik mengenai perkara itu di cawangan terpilih,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :