AGENDANASIONAL

43 peratus wanita di Selangor tiada gaji akibat PKP

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 43 peratus wanita di Selangor dalam satu tinjauan Institut Wanita Berdaya (IWB) hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kira-kira 25 peratus daripada 442 responden hilang pekerjaan berbayar dalam tempoh PKP kerana penamatan kontrak, penutupan perniagaan atau terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Golongan ibu tunggal khususnya muncul sebagai kelompok rentan, dengan satu perempat hidup bawah garis kemiskinan dan hampir separuh melaporkan kehilangan pendapatan,” kata ketua pegawai eksekutif IWB Selangor.

Siti Kamariah Ahmad Subki juga berkata 37 peratus wanita tidak mempunyai sokongan untuk menjaga tanggungan kerana perlu bekerja ketika perintah kawalan tersebut.

Siti Kamariah Ahmad Subki

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan 14 responden wanita menyatakan mereka atau ketua keluarga terpaksa membuat pinjaman haram ah long.

Tinjauan dalam talian itu dilakukan empat hari mulai 27 Mac bagi mengukur kesan sosioekonomi dan kehidupan mereka ketika penularan wabak Covid-19

Susulan itu Siti Kamariah mencadangkan beberapa langkah yang boleh membantu golongan tersebut, antaranya, seperti berikut:

1. Bantuan wang tunai yang khusus dan bersasar kepada kumpulan terpinggir seperti ibu tunggal dan isi rumah yang besar.
2. Bantuan penjagaan tanggungan seperti warga emas dan kanak-kanak, termasuk sehingga selepas PKP.
3. Latihan membina keupayaan bagi wanita untuk membangun ekonomi, termasuk pendidikan celik kewangan bagi golongan ini.


Pengarang :