Anggota bomba giat melakukan operasi pemadaman api di Kompartmen 21, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang terbakar Sabtu lalu. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

60 peratus kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat berjaya dipadam

SHAH ALAM, 22 APRIL: Dianggarkan 60 peratus daripada 65 hektar kawasan terbakar di Kompartmen 21,  Hutan Simpan Kuala Langat Selatan berjaya dipadamkan setakat ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata hujan lebat dan pengeboman air dari udara menggunakan helikopter sebanyak lapan kali semalam berjaya memadamkan lebih banyak kawasan kebakaran.

“Kita akan teruskan operasi dan pagi ini tinjauan dilakukan terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian cuaca sebelum melaksanakan pemadaman dari udara.

“Diharapkan lebih banyak kawasan dapat dipadamkan bagi mengelakkannya merebak ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Cuaca panas dan kering dipercayai punca kebakaran di hutan simpan yang bermula Sabtu lalu, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kegiatan pencerobohan hutan.

Bomba berdepan kesukaran memadam kebakaran ekoran tiada laluan masuk, laluan kenderaan dan sumber air serta keadaan cuaca.


Pengarang :