AGENDANASIONAL

Anwar: Jangan hilang kemanusiaan dalam tangani isu Rohingya

SHAH ALAM, 25 APRIL: Semua pihak diingatkan supaya tidak hilang sifat kemanusiaan dalam menangani isu etnik Rohingya sekalipun negara berdepan wabak Covid-19.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui siaran langsung Facebook petang tadi memahami kegusaran orang ramai tetapi beliau menegaskan perlindungan kepada insan tertindas perlu diberi perhatian.

“Orang pelarian jangan (kita) tenggelamkan kapal mereka atau biarkan mati kelaparan. Kita harus beri perlindungan dalam batasnya.

“Saya harap jangan kita hilang sifat kemanusiaan kita… kita pun susah, ada batas kita boleh bantu,” katanya ketika menjawab soalan mengenai pelarian Rohingya termasuk isu pemberian kerakyatan sementara.

Anwar bagaimanapun menegaskan isu pemberian kerakyatan kepada mereka tidak timbul sebaliknya usaha harus tertumpu bagi membantu pelarian mengikut kemampuan negara.

“Jadi sementara saya faham kegelisahan sebahagian rakyat kita, kita jangan beri muka berlebihan kepada mereka (Rohingya) tapi soal kemanusiaan itu kita harus pelihara.

“Kalau hidup sengsara ditindas di negara sendiri oleh satu pemerintahan tentera junta yang zalim, maka kita harus beri pertimbangan kemanusiaan,” katanya.

Kebelakangan ini, isu Rohingya banyak diperkatakan orang ramai, sebahagian bersimpati dengan nasib mereka manakala segelintir lagi menolak usaha membantu pelarian itu.

Sekitar 2017, pemimpin sebuah parti politik ada menyaran kerajaan supaya memberi kerakyatan sementara kepada pelarian Rohingya bagi membela nasib mereka.


Pengarang :