Pengguna mengenakan topeng muka ketika membeli barang keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Tesco Kajang pada 23 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bersedia sesuaikan diri dengan norma baharu pasca PKP

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Selepas lebih sebulan menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang membantu mengekang penularan Covid-19 di negara ini, orang ramai diingatkan untuk bersedia menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’ apabila perintah itu ditarik balik.

Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, berkata malah selepas PKP, setiap orang perlu ingat bahawa virus itu belum lenyap sepenuhnya dan perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya ingin mengingatkan semua orang bahawa kehidupan tidak akan kembali kepada keadaan biasa …ini (Covid-19) adalah virus yang amat mudah dijangkiti dan 98 peratus populasi tidak mempunyai imuniti terhadapnya.

“Dan jika kita kembali mengadakan perhimpunan membabitkan ramai orang, tidak mengamalkan kebersihan diri dan jarak sosial, kita akan kembali kepada keadaan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program webinar Research for Social Advancement (REFSA) bertajuk “Covid-19: Crisis Preparedness and the Whole-of-Society Response” menerusi aplikasi Zoom Cloud Meetings semalam.

Selain PKP, Dr Adeeba berkata negara akan dapat mengendalikan pandemik itu lebih baik dengan memahami cara penularan dan sejarah asal usul penyakit itu, dengan mengambil kira semua iktibar daripada apa yang telah dilakukan virus itu dalam tempoh tiga hingga empat bulan lepas.

Berhubung isolasi komuniti, beliau menjadikan Singapura sebagai contoh baik, iaitu kes jangkitan yang sihat dan tidak mempunyai komplikasi telah dikendalikan dalam komuniti daripada memasukkan setiap daripada mereka ke hospital.

“Ia (Singapura) menyaksikan ratusan kes setiap hari tetapi nasib baik banyak daripada kes itu adalah mereka yang cergas, sihat dan pekerja asing muda.

“Diharapkan PKP kita akan menamatkan ancaman Covid-19, tetapi sekiranya kita sekali lagi berdepan kluster besar, dengan itu kita sudah bersedia dari segi pusat untuk pesakit yang sihat (simptom biasa) dan khususkan hospital untuk mereka yang berisiko mendapat komplikasi serius,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :