Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (kanan) menyerahkan replika cek RM100,000 untuk Tabung Covid-19 Selangor kepada Dato’ Seri Amirudin Shari di pejabat Dato’ Menteri Besar di Shah Alam pada 2 April lalu. Foto ihsan Bank Islam
AGENDANASIONAL

BHB, Bank Islam serah RM100,000 kepada Tabung Covid-19 Selangor

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: BIMB Holdings Bhd (BHB) dan anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Covid-19 Selangor bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik itu.

BHB dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada dana RM1.6 juta yang diperuntukkan untuk menyokong pelbagai usaha berkaitan kemanusiaan dan perubatan kepada semua pihak yang sedang memerangi Covid-19.

“BHB dan Bank Islam mahu sama-sama menyokong usaha Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat dan pemastautin di Selangor yang terjejas,” jelas kenyataan itu.

Tabung Covid-19 Selangor diumumkan dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 April lalu.

Sejumlah RM8.150 juta berjaya dikutip pada hari pertama dilancarkan dengan RM250,000 hasil sumbangan Ahli Dewan Negeri.

Orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank Islamic – 562106684326 dalam bentuk mata wang tempatan Ringgit Malaysia.


Pengarang :