Orang ramai mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika membeli barangan keperluan harian di Pasar Kajang pada 19 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Elak jangkitan Covid-19, Selangor tangguh anjur pasar tani

SELAYANG, 4 APRIL: Kerajaan Negeri menangguhkan penganjuran pasar tani di Stadium Shah Alam bagi mencegah risiko jangkitan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat setelah mendengar pandangan banyak pihak untuk mengelakkan orang ramai daripada menyerbu pasar tersebut.

“Kerajaan Negeri tidak mahu ia (pasar tani) menjadi punca perhimpunan dan kumpulan yang kurang wajar seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan Majlis Perbandaran Selayang di sini hari ini.

Dalam program itu, Amirudin menyerahkan 1,000 penutup hidung dan mulut, 300 pek makanan dan 300 cecair pembasmi kuman kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi.

Kelmarin, EXCO pertanian memaklumkan Majlis Keselamatan Negara meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi pasar tani sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, bermula esok.

Ir Izham Hashim berkata ia susulan pengumuman kerajaan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan mengambil tanggungjawab menjual barangan basah bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.


Pengarang :