EXCOSELANGOR

EXCO jadi mangsa tipu, nafi minta pindah wang

SHAH ALAM, 29 APRIL: EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani menafikan cuba memperdaya seorang individu untuk memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Mengakui menjadi mangsa sindiket penipuan, Ir Izham Hashim berkata beliau menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh beberapa pegawainya yang mendakwa menerima mesej daripada individu terbabit petang semalam.

“Saya dimaklumkan oleh beberapa sahabat saya bahawa mereka menerima WhatsApp daripada individu yang menggunakan profil dan wajah saya.

“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah melakukan aktiviti sebegitu rupa,” kata beliau di Facebook miliknya.

Ekoran kejadian itu, Ir Izham yang juga ahli dewan negeri Pandan Indah berkata beliau dijangka membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam hari ini bagi membersihkan nama.

“Jika ada sesiapa yang menerima mesej atau WhatsApp daripada individu menyerupai saya segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan tangkap layar perbualan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambar sama seperti akaun rasmi Facebooknya.

Perbualan di laman sosial itu antara lain mendakwa konon wakil rakyat berkenaan cuba memperdaya mangsa untuk memindahkan sejumlah wang dengan kadar segera atas alasan akaun bank melebihi had.


Pengarang :