AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Indeks jenayah di Selangor turun 18.3 peratus

SHAH ALAM, 20 APRIL: Indeks jenayah di Selangor menurun 18.31 peratus atau 1,048 kes dalam tempoh 1 Januari hingga semalam hingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jurucakap Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata indeks jenayah di negeri ini bagi tempoh berkenaan ialah 5,723 kes, berbanding 4,675 kes tahun ini.

Bagi tempoh sama, katanya, jenayah kekerasan menurun 22.99 peratus atau 297 kes, jenayah harta benda turun 16.95 peratus iaitu bersamaan 751 kes, manakala jenayah jalanan berkurang 28.18 peratus atau 244 kes.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan penurunan statistik jenayah di negeri ini antara lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Dengan adanya PKP, masyarakat kurang keluar, jadi potensi untuk jadi mangsa (jenayah) kurang, itu salah satu sebab kadar jenayah menurun, tetapi kita akan buat kajian lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor berkata pihaknya menerima 2,771 laporan polis kerana ingkar PKP sejak 18 Mac lalu.

Katanya, berdasarkan kumulatif laporan polis kes Covid-19 sehingga tengah malam tadi, sebanyak 1,573 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu polis membuat 3,431 tangkapan.

“Semalam sahaja polis menahan 214 individu, daripada jumlah itu 82 adalah warga asing, menjadikan seramai 1,400 warga asing ditahan sepanjang Ops Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, polis terus mengetatkan kawalan melalui sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut, seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar dengan pendakwaan di mahkamah.


Pengarang :