Anggota polis dan tentera membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 5 April 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan wabak Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ingkar PKP, 24 individu dikompaun RM1,000 di Selangor

SHAH ALAM, 9 APRIL: Seramai 24 individu masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 di Selangor semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor.

Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, dengan kompaun RM1,000 yang dikuatkuasakan itu diharapkan penduduk di negeri ini lebih patuh perintah kawalan pergerakan.

Katanya, sejak PKP dimulakan pada 18 Mac sehingga semalam, polis menerima 980 aduan berkaitan kegagalan mematuhi perintah kawalan di negeri ini.

“Daripada jumlah aduan, sebanyak 695 kes disiasat manakala 1,430 individu ditangkap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis yang bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus mengadakan 94 sekatan jalan selama 24 jam di negeri ini untuk mengawal pergerakan orang ramai.

“Polis juga mengambil langkah menutup beberapa laluan di sekitar Damansara Perdana dan Mutiara Damansara, Petaling Jaya mulai esok bagi mengurangkan pergerakan orang ramai,” kata beliau.

Selain itu, Mohd Ismail turut memaklumkan tujuh penerbangan dari luar negara yang membawa 246 penumpang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam sebelum mereka disaring Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Pengarang :