AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jais benarkan akad nikah menerusi sidang video mulai hari ini

SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini kini dibenarkan melalui sidang video mulai hari ini, dengan syarat mendapat kelulusan khas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu satu tatacara terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Sebelum ini, katanya, semua majlis akad nikah dalam tempoh PKP ditangguhkan selepas lima jurunikah Jais terpaksa dikuarantin kerana dikesan ada kontak dengan individu positif Covid-19 sewaktu bertugas.

Berdasarkan tatacara berkenaan, Pengarah Jais akan memberi kebenaran khas itu setelah mendapat permohonan lengkap dan pemohon diberi penerangan mengenai proses nikah.

Pemohon yang mendapat kebenaran khas itu akan dimaklumkan mengenai tarikh pernikahan dan mereka akan dinikahkan melalui sidang video.

Pemohon kemudiannya perlu hadir ke pejabat agama Islam daerah selepas PKP ditamatkan untuk mengemukakan slip perakuan nikah sementara bagi mendapatkan Surat Perakuan Nikah Negeri Selangor mengikut Seksyen 26 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Pada 18 April lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, perkara itu adalah selaras dengan ketetapan baru Jawi yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang telah memperolehi kebenaran berkahwin daripada pihak berkuasa agama itu, untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video berdasarkan garis panduan dan borang permohonan yang telah ditetapkan melalui laman web www.jawi.gov.my.

Majlis akad nikah secara sidang video itu yang pertama itu membabitkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Shariff.

-BERNAMA


Pengarang :