Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: Pasangan ada Kebenaran Berkahwin boleh nikah ketika PKP

SHAH ALAM, 17 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan pasangan yang sudah mendapat Kebenaran Berkahwin untuk melangsungkan akad nikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarahnya.

Bagaimanapun, Jais tidak lagi mengeluarkan kelulusan Kebenaran Berkahwin baharu sepanjang tempoh PKP ini.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata kebenaran khas akad nikad itu diberi selepas mengambil kira situasi semasa dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kebenaran khas ini diberikan kepada pasangan yang telah mendapat Kebenaran Berkahwin yang mempunyai alasan munasabah dan selepas diluluskan Pengarah Jais untuk meneruskan perkahwinan ketika tempoh PKP tanpa kehadiran pihak-pihak seperti mana keperluan di bawah Seksyen 7 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Tetapi tiada lagi Kebenaran Berkahwin baharu akan dikeluarkan Jais sepanjang tempoh PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jais bagaimanapun tidak menyatakan prosedur perlu dilaksanakan semasa proses akad nikah dilangsungkan seperti prosedur berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan.

Sebelum ini, Jais menangguhkan proses akad nikah dan kebenaran berkahwin susulan perintah kawalan bagi mengekang penularan Covid-19 dan arahan itu dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Mengikut laporan Jais, sebanyak 1,062 akad nikah terpaksa ditangguhkan dengan Klang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 190 pasangan, diikuti Petaling sebanyak 187 dan Hulu Langat 180.

Gombak pula merekodkan 134 pernikahan tertangguh, diikuti Kuala Langat (94), Hulu Selangor (85), Sepang (83), Kuala Selangor (72) dan Sabak Bernam (37).

 


Pengarang :