AGENDANASIONAL

Jualan amal karya ‘tugu’ petugas kesihatan laris, diulang cetak

SHAH ALAM, 17 APRIL: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) terpaksa mengulang cetak karya edisi terhad ‘tugu’ petugas barisan hadapan berikutan permintaan ramai.

Karya hasil inspirasi Tugu Negara dijual pada harga RM150 melalui Pameran Seni Amal SENI-KOV19 yang berlangsung secara maya. Hasil jualan dimasukkan ke tabung bantuan.

“Disebabkan ada banyak permintaan untuk karya Haris Abadi yang tular baru-baru ini, maka beliau bersetuju untuk membuat cetakan terhad sutera saring atas kertas sebanyak 19 keping lagi,” tulis Facebook RUsSEL hari ini.

Karya Haris Abadi pernah dipamerkan di beberapa galeri di Kuala Lumpur, Singapura, Indonesia dan Jepun.

Berasal dari Kelantan, beliau yang memiliki ijazah sarjana Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menang pertandingan multimedia di Seoul, Korea Selatan pada 2011.

Penolong pengurus RUsSEL berkata seramai 17 artis lain termasuk Fuad Osman, Bayu Utomo, Suddin Lappo dan Hasmi Hashim terlibat dalam pameran sama.

“Sebanyak 28 karya dihasilkan dalam bentuk lukisan, cetakan, catan dan satu arca,” kata Alina Abdullah.

Beliau berkata sebanyak RM7,620 dikutip setakat ini untuk Tabung Karyawan Seni Rupa bagi membantu golongan seniman yang terjejas akibat Covid-19.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi 016-7744840 untuk tempahan. Semua karya dihantar kepada pembeli selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :