Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

Kedudukan ahli majlis langgar PKP ditentukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 4 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan kepada Kerajaan Negeri berhubung kedudukan seorang ahli majlisnya yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, semalam.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata surat memohon penjelasan turut diberikan selepas individu tersebut bersama tiga rakannya menceroboh salah sebuah dewan di Seksyen 25.

“MBSA merasa dukacita terhadap insiden ini dan menyediakan laporan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut kerana kedudukan ahli majlis dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan kuasa negeri,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PBT itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, organisasi atau kumpulan termasuk penjawat awam yang melakukan kesalahan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

Sementara itu, menurut portal Harian Metro, jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata empat individu tersebut kini menunggu perintah reman untuk didakwa mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Lewat malam tadi, MBSA bersama polis melakukan penguatkuasaan selepas menerima maklumat terdapat sekumpulan individu bermain badminton di dewan tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut kecewa terhadap sikap ahli majlis yang gagal menunjukkan contoh baik kepada masyarakat dan meminta tindakan tegas diambil.


Pengarang :