PENDAPATRENCANA

Kena bijak urus wang ketika krisis Covid-19

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Ketidaktentuan bila berakhirnya wabak Covid-19 yang sedang melanda negara menuntut setiap anggota masyarakat untuk merancang dan mengurus kewangan mereka dengan sebaik-baiknya.

Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai insentif serta bantuan kewangan terutama kepada golongan miskin, kumpulan B40 dan tidak terkecuali kelompok M40, namun berhadapan situasi yang sukar diramal ini, rakyat sendiri hakikatnya perlu bijak mengatur dan merencana kewangan mereka.

Langkah ini penting sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengelak dihimpit masalah kewangan, apatah lagi jika ‘putus belanja’ (langsung tiada duit), salah berbelanja untuk tujuan yang tidak sepatutnya serta risiko beban hutang serta menjejaskan simpanan masa hadapan.

Kedudukan terkini

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menilai semula kedudukan kewangan terkini serta mengenal pasti jumlah pendapatan dan perbelanjaan bulanan.

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata antara perkara utama yang boleh dilakukan ketika berhadapan ketidaktentuan tempoh krisis Covid-19 ialah menilai semula kedudukan kewangan terkini serta mengenalpasti jumlah pendapatan dan perbelanjaan bulanan bagi membantu pengurusan kewangan yang baik.

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa. Foto BERNAMA

Perkara ini adalah antara cadangan Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa, apabila dihubungi Bernama.

Menurut beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika krisis ini termasuk pemotongan gaji serta elaun dan pemberhentian kerja oleh majikan disebabkan kesan ekonomi semasa.

“Bagi golongan yang pendapatan mereka terjejas disebabkan krisis ini, pengurusan kewangan perlu dibuat dengan lebih cermat dan teliti. Kemas kini penyata harta bersih, penyata gaji dan penyata aliran tunai.

“Mungkin ada pertimbangan untuk mencairkan sebahagian daripada aset tertentu. Namun ia perlu diteliti termasuk mengambil kira segala insentif dan bantuan yang diberikan kerajaan dan pihak tertentu sama ada mencukupi atau tidak bagi menampung keperluan semasa,” jelasnya.

Dalam usaha meringankan beban rakyat serta sektor yang terkesan bagi menangani impak krisis Covid-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang melibatkan setiap peringkat masyarakat.

Daripada jumlah keseluruhan, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Sebanyak RM20 bilion pula diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Lebihan gaji

Mengulas lanjut, Junainah berkata penyata gaji bagi bulan April mungkin berbeza dan ada lebihan berbanding bulan sebelumnya bagi kebanyakan individu bekerja, berikutan penangguhan bayaran pinjaman rumah, kereta dan beberapa pinjaman lain yang bermula 1 April lepas.

Ia susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac lepas berhubung moratorium automatik bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan PKS bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Di samping itu, bank juga digalakkan untuk memudahkan moratorium ke atas pinjaman korporat dan perlu menyediakan peruntukan bagi pinjaman sedemikian.

“Bagi kebanyakan individu bekerja, selain lebihan gaji, perbelanjaan yang sebelum ini diperuntukkan untuk minyak kereta, bayaran tol, makan dan hiburan di luar juga boleh dijimatkan disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan kepada fasa keempat sehingga 12 Mei nanti.

“Apa yang perlu dilakukan ialah terus mencatat bajet bulanan atau pengurusan aliran tunai duit keluar masuk seperti biasa meskipun ketika dalam tempoh PKP yang kononnya dianggap sebahagian masyarakat sebagai tempoh berjimat atau kurang berbelanja.

“Lebihan wang yang ada wajar disimpan lebih-lebih lagi untuk tabung kecemasan. Tabung ini penting sekiranya berlaku sebarang ketidaktentuan seperti situasi yang kita lalui sekarang. Ia seharusnya mampu menampung perbelanjaaan kos sara hidup sesebuah keluarga untuk tempoh kira-kira tiga hingga enam bulan,” katanya.

Junainah menambah walaupun terdapat pengecualian bayaran pinjaman, namun mereka yang pendapatannya tidak terjejas dan masih menerima gaji bulanan seperti biasa digalakkan untuk membuat bayaran balik seperti biasa dengan menghubungi bank masing-masing.

“Tujuannya adalah bagi mengelak tempoh pembayaran hutang menjadi lebih lama atau perlu membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi di kemudian hari bagi menampung bayaran yang ditangguhkan sepanjang moratorium,” katanya.

Ramadan PKP

Mengulas kemudahan pengeluaran Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum berumur bawah 55 tahun yang dibenar membuat pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing bermula 1 April, Junainah berkata, beberapa perkara harus dipertimbangkan terlebih dahulu bagi memastikan tindakan itu tidak menjejaskan simpanan waktu persaraan.

Menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

“Pencarum perlu mengambil kira insentif lain yang disediakan kerajaan seperti pakej PRIHATIN yang melibatkan pelbagai peringkat masyarakat dan penangguhan bayaran balik pinjaman yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat.

“Antara lain rakyat juga boleh menggunakan wang simpanan berbanding pengeluaran KWSP dan hanya seorang isi rumah (suami atau isteri) yang berbuat demikian (pengeluaran KWSP) jika perlu. Ia bagi mencapai matlamat asal simpanan KWSP iaitu untuk kegunaan waktu persaraan,” katanya.

Turut menyentuh situasi ‘Ramadan PKP’ pertama kali dalam sejarah negara, Junainah berkata rakyat khususnya umat Islam wajar memanfaatkan tempoh ini untuk mengamalkan sikap berjimat cermat terutama bagi perbelajaan makanan.

“Jika sebelum ini rakyat berpusu-pusu membeli pelbagai juadah berbuka, namun kali ini pasti berbeza kerana tiada bazar Ramadan. Lihatlah perkara ini dari sudut positif terutama dalam mendidik rakyat berjimat cermat dan tidak melakukan pembaziran apabila membeli terlalu banyak makanan yang akhirnya tidak habis dimakan.

“Peruntukan untuk ke bazar Ramadan dan sebarang insentif yang diterima serta lebihan wang penjimatan sepanjang krisis Covid-19 dan PKP ini boleh disimpan di dalam sebuah tabung khas yang boleh digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Pilihan terbaik

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata setiap isi rumah perlu memastikan keputusan melibatkan hal kewangan yang dibuat semasa tempoh pandemik Covid-19 adalah yang paling berkesan termasuk untuk jangka masa panjang.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah. Foto BERNAMA

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata setiap isi rumah perlu memastikan keputusan melibatkan hal kewangan yang dibuat semasa tempoh pandemik ini adalah yang paling berkesan termasuk untuk jangka masa panjang.

“Penangguhan bayaran balik atau moratorium adalah sebagai langkah persediaan bagi kebanyakan rakyat dalam menghadapi keadaan yang tidak diduga. Namun begitu isi rumah boleh merancang dan membuat pilihan bergantung kepada tahap kemampuan kewangan masing-masing.

“Kita juga mengharapkan pihak bank atau institusi kredit menawarkan pilihan terbaik kepada pelanggan dalam keadaan ketidaktentuan ini. Diharapkan kerajaan, institusi bank dan kredit serta isi rumah saling berkomunikasi bagi mendapatkan formula terbaik sekaligus memastikan ekonomi negara kekal berkembang,” katanya.

Tambah Muhammad Ridhuan, pakej rangsangan ekonomi melalui pindahan tunai kepada isi rumah merupakan dasar kerajaan yang cekap bagi memberi ‘suntikan’ kewangan kepada rakyat, menyokong aliran tunai seterusnya perbelanjaan berterusan isi rumah dan ekonomi domestik.

Selain Malaysia dan Singapura, China bahkan negara Eropah seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom turut memberi bantuan rangsangan ekonomi dengan melaksanakan dasar fiskal dan kewangan untuk membantu memulihkan ekonomi negara masing-masing seterusnya menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook 2020 turut menyarankan agar setiap negara perlu bersedia untuk mengekang krisis ekonomi disebabkan Covid-19 melalui dasar fiskal yang antaranya melibatkan bantuan kepada isi rumah dan perniagaan. Kesan fiskal yang kukuh akan dapat memulihkan ekonomi dengan lebih pantas,” katanya.

Ditanya kewajaran untuk isi rumah memohon bantuan kewangan daripada mana-mana agensi ketika negara berhadapan situasi ini, beliau berpendapat ia bergantung kepada keperluan sebenar sesebuah keluarga.

“Tidak dinafikan terdapat juga ruang dan peluang baharu yang boleh diteroka terutama untuk memulakan perniagaan secara dalam talian. Namun begitu, perkara ini memerlukan perancangan rapi dan teliti agar tidak mendatangkan kerugian seterusnya menambah beban kewangan kepada isi rumah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :