Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: 315 pesakit usia bawah 14 tahun positif Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kira-kira enam peratus atau 315 daripada 4,683 pesakit Covid-19 di Malaysia merupakan golongan berusia di bawah 14 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 83 pesakit merupakan kanak-kanak di bawah usia empat tahun, dan jumlah sama direkodkan pesakit berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun dan baki 149 lagi adalah pesakit berusia antara 10 dan 14 tahun.

“Jika pesakit kanak-kanak ini mendapat jangkitan sekali dengan ibu atau ayah mereka, pesakit akan ditempatkan di dalam wad atau bilik yang sama.

“Kalau kanak-kanak ini dijangkiti, sementara ibu bapa mereka tidak dijangkiti tetapi ibu bapa ingin menjaga anak mereka, kita benarkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata ibu atau bapa yang ingin menjaga anak mereka yang positif Covid-19, digalakkan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan usia 20 hingga 24 tahun paling ramai dijangkiti Covid-19, iaitu seramai 526 orang, diikuti mereka berusia 25 hingga 29 tahun (495) dan pesakit berumur 56 hingga 59 tahun sebanyak 453 kes.

-BERNAMA


Pengarang :