Dr Mohd Radzi Md Jidin. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPM batal UPSR, PT3 tapi nilai kaedah baharu

SHAH ALAM, 15 APRIL: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan, umum Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pembatalan kedua-dua peperiksaan itu katanya tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid.

“Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau KPM akan memastikan dalam apa jua keadaan, akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberi keutamaan.

Tambah Dr Mohd Radzi, keputusan itu terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.

Sementara itu beliau berkata sesi persekolahan pula akan dibuka selepas keadaan kembali pulih dan pihaknya akan mengumumkan dua minggu lebih awal.

“Pada peringkat ini pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya.


Pengarang :