Salah seorang penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang menerima barangan yang dibeli menggunakan khidmat penghantar barangan melalui celahan pagar kawat duri ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara pada 21 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasar Borong Selayang tutup empat hari untuk pembersihan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Operasi Pasar Borong Selayang ditutup selama empat hari sehingga Khamis ini bagi tujuan pembersihan (sanitasi), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata pasar tersebut tidak ditutup selama 14 hari seperti dikuatkuasakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Peniaga pula mungkin kita minta KKM mengambil tindakan (saringan) bagi memastikan mereka tiada jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wartawan sama ada bekalan barang basah akan terjejas susulan laporan penutupan operasi Pasar Borong Selayang.

Pasar borong itu tidak termasuk dalam kawasan PKPD kerana arahan itu hanya membabitkan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Semalam kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur diisytihar kawasan keenam arahan PKPD, berkuat kuasa sehingga 3 Mei.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta penganjur bazar Ramadan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) memulangkan wang deposit peniaga, susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan operasi bazar tersebut tahun ini.

“Saya harap janganlah ada sesiapa mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain, mereka bayar deposit dengan harapan bazar Ramadan dibuka tetapi kerajaan tak benarkan, jadi saya minta pulangkanlah (deposit),” katanya.


Pengarang :