AGENDAEKONOMI

Pasaran getah dijangka meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangkakan mencatat aliran peningkatan minggu depan berikutan tanda Covid-19 dapat dikawal di China dengan angka kematian dan jumlah kes virus itu semakin menurun minggu ini.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata China berperanan menetapkan peningkatan kadar aliran dari segi permintaan serta harga.

“China telah keluar daripada kedudukan sekatan pergerakan, malah telah menarik balik perintah berkurung yang dilaksanakan di pusat pandemik, Wuhan, pada 8 April lepas.

“Pihak industri juga sudah memulakan semula operasi dan permintaan terhadap getah akan ada apabila industri automotif itu turut berfungsi semula,” katanya kepada Bernama.

Low berkata permintaan itu juga dijangka terus meningkat susulan musim daun luruh yang berpanjangan di Thailand yang menjejaskan penghasilan lateks dan mengurangkan bekalan.

Malah, katanya, perkembangan harga komoditi itu yang lebih kukuh iaitu 481.0 sen sewaktu dagangan ditutup pada Khamis, akan turut menggalakkan peningkatan harga pada minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan dagangan bercampur-campur dipacu oleh prestasi pasaran hadapan getah serantau.

Kalangan peniaga juga sememangnya berhati-hati menjelang Mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta mesyuarat negara anggota Kumpulan G20 bagi mengurangkan impak pandemik Covid-19 terhadap pasaran tenaga.

Bagi perbandingan asas Jumaat sehingga Khamis, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 naik 21.5 sen kepada 481.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok sembilan sen kepada 414.0 sen sekilogram.

-BERNAMA


Pengarang :