Pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta institut latihan kemahiran setelah kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 mulai 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pelajar IPT zon hijau dibenar pulang mulai Isnin

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai 27 April ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk peringkat awal pergerakan hanya dibenarkan dari kampus di kawasan zon hijau ke negeri atau daerah zon sama dengan waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi.

Katanya, setiap pelajar yang ingin pulang perlu menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu dan dibekalkan dengan topeng muka serta keperluan makan minum.

“Mereka yang menggunakan bas akan dihadkan dan perlu penjarakan sosial, kalau bas 40 penumpang, hanya 20 boleh berada di dalam. Pelajar diambil dari kampus dan dibawa terus ke balai polis atau pejabat daerah berhampiran kampung mereka, dari situ dihantar ke rumah oleh agensi berkenaan maka tiada ruang pergi tempat lain,” katanya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi pelajar yang ada kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang secara bersendirian dengan kebenaran polis tetapi tidak boleh merentas negeri, misalnya pelajar dari Selangor cuma boleh ke rumah keluarga di negeri itu.

“Bagi pelajar Sabah dan Sarawak yang berhasrat pulang, penerbangan disediakan dengan pendaratan di lapangan terbang berhampiran tempat tinggal mereka.

“Seperti diputuskan kerajaan Sabah dan Sarawak, mana-mana penumpang dari Semenanjung akan dikuarantin 14 hari, ini termasuk pelajar yang dihantar pulang kecuali kerajaan negeri tersebut mengubah tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Beliau berkata proses penghantaran pulang pelajar itu melibatkan 85 peratus di bawah KPT, iaitu sekitar 53,000 orang, manakala selebihnya mahu kekal di kampus atas sebab tertentu manakala mereka di bawah kementerian lain, dibenarkan kementerian tersebut uruskan kepulangan tetapi menggunakan SOP KPT.


Pengarang :