Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19 di Bangsar, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk di bandar tidak dibenarkan balik kampung sambut Ramadan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Individu yang berada di bandar tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Justeru, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi mana-mana balai polis untuk mendaftar dan mendapatkan kebenaran pulang ke kampung.

“Yang ada di bandar dan hendak balik ke kampung tidak boleh. Ramai yang ingin balik menyambut (Ramadan) dan berbuka puasa di kampung, (bagaimanapun) tidak boleh ada pergerakan dari bandar ke kampung.

“Jangan ada yang lapor di balai polis untuk balik kampung,” kata beliau selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Semalam, kerajaan memaklumkan rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke rumah masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran dalam talian kepada polis atau di balai polis berhampiran bermula 25 April ini.

Mengulas kekeliruan itu, Ismail Sabri berkata pengumuman kebenaran pulang semula ke Kuala Lumpur atau bandar yang dibuat semalam tidak berkuat kuasa secara automatik.

“Apa yang diumumkan semalam, saya sebutkan hanya mereka yang terperangkap di kampung boleh mendaftar secara dalam talian atau di balai polis mulai 25 April ini untuk kembali semula ke bandar bukannya membenarkan orang ramai pulang ke kampung.

“Keputusan belum dibuat, selepas dapat info kita akan serah kepada KKM, polis dan Majlis Keselamatan Negara untuk berbincang sama ada boleh atau tidak (pulang ke kampung). Jika boleh, kita akan sediakan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya.


Pengarang :