EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ops Sumber Air elak dua insiden pencemaran di Sungai Langat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Operasi pemantauan 24 jam sumber air (Ops Sumber Air) berjaya mengelak dua insiden pencemaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA), kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata kerjasama pelbagai pihak dalam operasi itu berjaya menangani isu pencemaran air sebelum menjadi lebih teruk serta mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan meminta rakyat prihatin terhadap kawasan sensitif terutamanya sungai dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran supaya tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 April lalu, pemantauan pasukan operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengenal pasti peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia di Sungai Pajam berpunca daripada kolam ikan berhampiran yang terletak dalam kawasan Negeri Sembilan maka Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah berhubung dengan pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan untuk tindakan segera diambil.

Pada tarikh sama juga pasukan operasi mendapati keadaan air berwarna hijau di saliran kawasan Perindustrian Hi-Tech 6 yang berpunca daripada kilang percetakan di Jalan Sungai Lalang, Semenyih yang tidak menguruskan buangan terjadual dengan betul dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak pantas menghentikan operasi premis lalu menyita beberapa peralatan.

Antara agensi terlibat dalam Ops Sumber Air adalah Air Selangor, LUAS, JAS, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, polis, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan.


Pengarang :