AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengetua, PIBG puji inisiatif e-pembelajaran, elak tercicir belajar

SHAH ALAM, 3 APRIL: Sistem e-pembelajaran yang diwujudkan Kerajaan Negeri mampu membantu pelajar yang tercicir dalam pelajaran meneruskan pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengetua Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SMTAJ) Klang.

Shukri Zakaria berkata beliau menzahirkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang sentiasa prihatin dalam membantu pelajar tidak dapat hadir ke sekolah terus belajar di rumah melalui e-pembelajaran.

“Saya berharap mereka dapat gunakan masa di rumah dengan belajar melalui sistem itu dan pada masa sama ibu bapa boleh memantau anak mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pengerusi Pergerakan Ibu Bapa dan Komuniti Selangor Melaka, Dato’ Shuhery Shuib berkata ada kelebihan dan kekurangan berhubung e-pembelajaran itu iaitu berkaitan penggunaan internet.

“Tidak semua golongan mampu dan mungkin ada dalam kalangan mereka tiada sambungan internet di rumah atau mempunyai bilangan anak bersekolah yang ramai. Saya cadangkan perkara itu juga perlu ditumpukan Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, dalam keadaan mendesak ini ia adalah satu inisiatif yang terbaik dari Kerajaan Negeri untuk pelajar manfaatkan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Pelajar SMTAJ, R Shamelan, berkata sistem itu membantu pelajar menjadi lebih kreatif sekali gus mengasah kemahiran dalam bidang teknologi.

“Walaupun terpaksa belajar di rumah tetapi tutorial yang diberikan dalam e-pembelajaran mudah difahami dan e-buku juga boleh dimuat turun secara percuma,” kata pelajar tahun lima.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.


Pengarang :