Peniaga Pasar Awam Taman Megah di Petaling menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 pada 28 April 2020 susulan seorang peniaga di situ positif wabak tersebut. Foto ihsan MBPJ
AGENSISELANGOR

Peniaga Pasar Awam Taman Megah jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 28 APRIL: Peniaga Pasar Awam Taman Megah di Petaling menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 hari ini susulan seorang peniaga di pasar tersebut disahkan positif wabak berkenaan.

Ujian saringan dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bermula jam 9 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Jaya, Johary Anuar turut hadir bagi melihat proses saringan.

Dalam sidang medianya semalam, Johary memaklumkan Pasar Awam Taman Megah dan Pasar Besar Jalan Othman ditutup sementara sekurang-kurangnya lima hari bermula semalam bagi proses nyahkuman.

“Jadi kita minta peniaga yang mempunyai kontak dengan peniaga yang disahkan positif hadir jalani saringan. Terdapat 60 peniaga di Pasar Awam Taman Megah.

“Manakala bagi peniaga di Pasar Besar Jalan Othman ujian saringan akan dilakukan esok bermula 9 pagi di pasar ini. Terdapat 578 peniaga, jadi kita minta sesiapa yang ada kontak dengan peniaga yang sudah disahkan positif Covid-19, sila tampil untuk ujian,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Taman Megah pada 11 hingga 25 April manakala Pasar Besar Jalan Othman pada 5 hingga 18 April agar pergi ke Klinik Kesihatan SS 6 Kelana Jaya atau Klinik Kesihatan Taman Medan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penutupan sementara Pasar Awam Taman Megah susulan seorang peniaga disahkan positif Covid-19.

Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada peniaga di Pasar Awam Taman Megah di Petaling pada 28 April 2020. Foto ihsan MBPJ

Pengarang :