Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor Rahilah Rahmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Peniaga patuh PKP atau premis tutup serta-merta – MDKS

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi amaran kepada pemilik pasar raya, kedai runcit dan serbaneka supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau berdepan tindakan penutupan premis serta-merta, kata yang dipertuanya.

Rahilah Rahmat berkata kesemua premis berkenaan turut berdepan tindakan pembatalan lesen jika masih ingkar.

“Aduan diterima masih terdapat premis tidak mematuhi arahan penjarakan sosial satu meter malah ada pelanggan membawa keluarga untuk membeli barang.

“Saya menggesa supaya semua patuh dengan arahan PKP ini bagi membolehkan kita sama-sama membendung wabak Covid-19 yang melanda,” katanya menerusi kenyataan.

Rahilah berkata bagi fasa pertama PKP, hasil pemantauan secara berkala mendapati 95 peratus peniaga dan penjaja mematuhi arahan dengan premis beroperasi berada dalam keadaan terkawal.

“MDKS merakamkan terima kasih dan ingin menyarankan pemilik premis menjalankan proses nyahkuman atau nyah cemar di dalam premis sebelum memulakan operasi perniagaan,” katanya.

Semalam Rahilah turut menyampaikan makanan dan minuman kepada petugas MDKS yang menjalankan kawalan di kawasan pasar awam sebagai tanda penghargaan selaku petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab melaksanakan proses kawalan pengunjung.


Pengarang :