Jabatan Pendaftaran Negara. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKP: Boleh ganti MyKad jika keperluan mendesak

SHAH ALAM, 19 APRIL: Individu yang kehilangan kad pengenalan (MyKad) dan perlu segera menggantikannya atas tujuan mendesak seperti memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN), boleh membuat temujanji dengan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka boleh menghubungi pejabat pendaftaran di daerah masing-masing untuk berjumpa pegawai berkenaan bagi tujuan tersebut.

“Bagi mereka yang hilang MyKad tetapi tiada keperluan segera menggantikannya, tak perlu bimbang kerana boleh tunggu 90 hari selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga melanjutkan tempoh pendaftaran kelahiran dan kematian selama 90 hari selepas berakhir PKP tanpa dikenakan penalti.

“Bagi rakyat di luar negara, kita juga beri tempoh sama, kalau di negara tersebut ada darurat, apabila tamat kita beri 90 hari untuk daftar melalui pejabat kedutaan,” katanya.


Pengarang :