Kelihatan seorang penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MKN sedia SOP arahan PKP ketika Ramadan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi bulan Ramadan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata ia termasuk operasi perkhidmatan penghantaran makanan, iaitu dari segi masa dan jarak perjalanan dibenarkan.

“MKN diminta menyediakan SOP untuk bulan puasa, ini termasuk dari segi penghantaran makanan kerana mungkin ada pesanan sehingga waktu sahur,” katanya di Putrajaya hari ini.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan semua syarikat e-panggilan, penghantar makanan di bawah rangkaian restoran makanan segera serta penghantar individu di pekan kecil dibenarkan beroperasi untuk menghantar makanan sepanjang Ramadan.

Ia susulan keputusan kerajaan tidak membenarkan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan dalam tempoh PKP.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan langkah komuniti setempat membuat kawalan sendiri bagi menghalang kemasukan orang luar ke kawasan perumahan atau kampung mereka bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya mereka perlu memaklumkan kepada polis serta tidak mengambil alih tugas pasukan keselamatan dalam membuat tangkapan.


Pengarang :