Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan trennya bermula 4 April 2020 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKP: ERL gantung sementara perkhidmatan mulai esok

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan trennya bermula esok sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana jumlah penumpang yang amat rendah sepanjang lapan hari lepas.

ERL dalam satu kenyataan hari ini berkata akibat pandemik Covid-19 semua penerbangan dihentikan dan hampir semua pejabat dan perkhidmatan ditutup, mengakibatkan hampir tiada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan ERL yang terhad.

“Syarikat telah meminta nasihat pihak berkuasa berkaitan dan memutuskan menggantung sementara perkhidmatannya dalam tempoh berkenaan. ERL terus menyediakan perkhidmatan kepada semua penumpang sebaik sahaja PKP ditamatkan,” menurut kenyataan syarikat itu.

Sementara itu, ERL berkata penggantungan sementara perkhidmatan ERL di Kuala Lumpur mencerminkan keadaan sama dihadapi banyak negara seperti City Airport Train di Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express di London, Gautrain di Johannesburg, dan Airport Express Line di New Delhi.

ERL memohon maaf kesulitan terpaksa dihadapi dan menasihatkan penumpang mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka.

Ia menasihatkan penumpang mengemukakan sebarang tiket tidak digunakan untuk pembayaran balik menerusi Pertanyaan Pelanggannya.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari www.KLIAekspres.com, Facebook KLIA Ekspres atau hubungi Pertanyaan Pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8.30 pagi hingga 6 petang waktu tempatan).

– BERNAMA


Pengarang :