Seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah Petaling bermula 10 April. Foto Sumber: Facebook IPD Petaling Jaya
SELANGOR

PKP: IPD Petaling Jaya terima bantuan kekuatan FRU

PETALING JAYA, 10 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu bermula hari ini.

“Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai.

“Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU, “ katanya ketika ditemui selepas memeriksa dua sekatan jalan raya tambahan di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan  pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.

“Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sembilan kompaun dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.

“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk berkumpul bersama rakan dan menghantar barang selepas 10 malam,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :