Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Pakej Prihatin Tambahan pastikan PKS dapat manfaat penuh

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Pakej Prihatin PKS (Tambahan) bernilai RM10 bilion yang diumumkan hari ini bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tetapi turut memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya.

Sehubungan itu, ketika membentangkannya di sini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mengambil inisiatif dengan mengumumkan beberapa penambahbaikan.

Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada sifar peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

“Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah sifar peratus,” katanya.

Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan dengan pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan tersebut, jelas perdana menteri.

Selain daripada itu, kerajaan juga akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra pada 6 April 2020. Foto BERNAMA

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti Mara, Petronas, PNB, Plus dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS,” kata Muhyiddin.

Atas prinsip perkongsian bebanan, beliau turut menggesa pemilik premis swasta untuk memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiga bulan selepas PKP berakhir.

Jelasnya, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa PKS akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa berkenaan bagi April hingga Jun 2020.

Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh berkenaan.

Sementara itu, kerajaan turut membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember 2020.

Pengurangan bayaran levi ini bagaimanapun tidak terpakai kepada pembantu rumah.

“Saya juga faham kesukaran yang dihadapi oleh sebahagian majikan untuk mengekalkan pekerja dalam keadaan yang agak terdesak pada waktu ini,” kata Muhyiddin.

Dalam hal ini, kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP.

Katanya, majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan nasihat berkaitan sebarang permasalahan untuk penyelesaian dan sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini.

“Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela. Saya juga tahu kesukaran yang dihadapi oleh pihak syarikat untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP ini,” ujarnya.

Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM.

Selain itu, tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP.

Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019.

Bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan, kata perdana menteri.

-BERNAMA


Pengarang :