TV Pendidikan mula bersiaran pada 6 April ini menerusi saluran TV Okey, iaitu satu daripada saluran RTM.
AGENDANASIONAL

Program TV Pendidikan di RTM bermula 6 April

PUTRAJAYA, 4 APRIL: Program TV Pendidikan diperkenalkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membolehkan pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata program itu mula bersiaran pada 6 April ini menerusi saluran TV Okey, iaitu satu daripada saluran RTM.

Sebagai permulaan, KPM berkata program itu disiarkan selama dua jam pada 9 hingga 10 pagi dan 1 hingga 2 petang pada setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Kementerian itu berkata slot TV pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu merupakan tambahan kepada siaran EduwebTV yang pada ketika ini dilaksanakan oleh KPM secara web streaming.

“Melalui kerjasama ini, KPM menyediakan rancangan berbentuk pembelajaran bersesuaian untuk disiarkan oleh RTM.

“Dengan ini, pelajar yang tidak mendapat capaian internet tidak ketinggalan dan masih boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah melalui televisyen,” katanya.

KPM berkata jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

“Slot ini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV. Selain itu, siaran ini juga boleh ditonton menerusi saluran 146 di ASTRO dan ASTRO NJOI,” katanya.

KPM berkata bagi pelajar yang mempunyai capaian internet, siaran itu boleh ditonton melalui laman sesawang www.myklik.rtm.gov.my secara web streaming.

“KPM berharap usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran pelajar dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :