AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Proses mohon bantuan nafkah khas dikemas kini, lanjut hingga 15 April

OLEH WAN FAIZAL ISMAYATIM

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan Negeri memperkemas proses permohonan bantuan nafkah khas kepada ibu tunggal yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemas kini dan semakan semula permohonan melalui Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor termasuk kriteria dan syarat, selain mewujudkan sistem permohonan secara dalam talian bagi memudahkan pemohon.

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang mengendalikan bantuan itu dalam kenyataan berkata semakan semula dibuat setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak.

“Semua permohonan tertakluk kepada syarat-syarat baharu ditetapkan dan kelulusan Jawatankuasa Penilai. Dana bantuan yang diluluskan akan dimasukkan terus ke dalam akaun pemohon,” katanya.

Jabatan itu juga menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan permohonan atau kelulusan dana tersebut.

Antara kemas kini dibuat ialah tarikh permohonan dilanjutkan sehingga 15 April dan pemohon adalah ibu tunggal warganegara Malaysia beragama Islam yang bercerai hidup dan memiliki perintah mahkamah atau sijil cerai.

Permohonan boleh dibuat melalui https://bit.ly/34tA2f9

Bantuan nafkah khas kepada golongan ibu tunggal diumumkan EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud, semalam.


Pengarang :