Pasukan petugas perubatan menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada penduduk di Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sembilan kes baharu Covid-19 di Selangor, terendah sejak PKP

SHAH ALAM, 17 APRIL: Jumlah pesakit baharu Covid-19 yang dikesan di negeri ini hari ini hanya sembilan kes, angka paling rendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Angka tersebut menunjukkan trend penurunan tiga hari berturut-turut dalam tempoh seminggu iaitu 13 kes semalam dan 17 kes pada Rabu lalu.

Berdasarkan data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitternya, sembilan kes direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Selangor setakat jam 12 tengah hari tadi adalah 1,338 kes.

“Hari ini sembilan kes baharu saja berbanding 13 semalam. Sangat baik. Jadi patuh PKP, tolong jangan sia-siakan usaha sebelum ini,” kata STFC hari ini.

Pasukan itu turut memaklumkan hanya tiga mukim di negeri ini dikategorikan zon merah hari ini kerana merekodkan lebih 40 kes aktif Covid-19. Tiga mukim tersebut ialah Hulu Langat (146 kes), Klang (123) dan Damansara (115).

Jumlah itu berkurangan berbanding 12 mukim disenaraikan dalam zon merah semalam.

Sembilan mukim yang terkeluar daripada zon merah ialah ialah Kapar, Bukit Raja, Petaling, Hulu Kelang, Batu, Ampang, Kajang dan Cheras.

Pasukan itu turut berkongsi infografik bagi membolehkan orang ramai mengenal pasti mukim mereka dan dijadikan panduan sepanjang PKP.


Pengarang :