Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sumbang buku, 22 individu jaya Projek Perpustakaan Rumah Selangor

SHAH ALAM, 24 APRIL: Seramai 22 individu termasuk tokoh masyarakat pelbagai bidang setuju menyumbangkan koleksi buku bagi menjayakan Projek Perpustakaan Rumah Selangor, kata Dr Muhamad Alinor Abdul Kadir.

Ahli lembaga pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata kerjasama semua pihak tersebut memberi makna kepada projek untuk menaik taraf kualiti atau daya intelek penduduk di negeri ini.

“Ini kerana biasanya koleksi peribadi kualiti kandungannya lebih tinggi berbanding yang ada di PPAS dan rata-rata mereka memiliki lebih 500 buku termasuk mempunyai perpustakaan di rumah masing-masing.

“Antara 22 individu itu adalah Datuk Dr Siddiq Fadzil, Dr Shaharir Mohamad Zain, Dr Abdul Halim El-Muhammady, SM Zakir, Lutfi Ishak, Dr Sharifah Kartini dan Wan Ji Wan Hussain,” katanya.

Muhamad Alinor berkata semua koleksi itu akan dikatalog dan dimuatkan ke laman sesawang PPAS dengan persetujuan individu berkenaan.

Beliau berkata pihaknya bercadang membuat pelbagai program seperti pameran koleksi, membaca, pameran manuskrip, buku-buku lama yang diterbitkan sebelum 1900 dan sebagainya.

“Projek ini akan diteruskan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dan jika keadaan beransur baik, pertengahan Mei nanti kita akan bermesyuarat untuk langkah selanjutnya,” tambahnya.


Pengarang :