Anggota Tentera berkawal di kawasan PKPD Selayang Baru, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

9 SOP perlu dipatuhi sepanjang PKP Bersyarat – KKM

SHAH ALAM, 2 MEI: Amalan penjarakan sosial satu meter dan kerap mencuci tangan antara sembilan tatacara operasi piawai (SOP) ditekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

KKM juga meminta orang awam menggunakan topeng muka selain setiap premis melakukan saringan kesihatan terhadap individu berkunjung.

“Perlindungan perlu diutamakan terhadap kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Mereka yang tidak sihat dan bergejala perlu menjalani pemeriksaan kesihatan. Pengguna pengangkutan awam diminta mengamalkan penjarakan sosial dalam kenderaan,” kata KKM melalui hantaran di Facebook hari ini.

KKM turut menggalakkan transaksi secara dalam talian dan meminta semua pihak melaporkan segara kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat jangkitan virus.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan PKPB dilaksanakan bermula Isnin ini bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu juga atas nasihat KKM
berdasarkan data dikumpul dan amalan terbaik ditentukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Pengarang :