Anggota tentera mengawal kawasan di Selayang Baru, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keputusan longgar aktiviti ekonomi, sosial agak gopoh – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 2 MEI: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini dengan memberi beberapa kelonggaran aktiviti ekonomi dan sosial, dianggap agak gopoh, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) itu berpendapat langkah tersebut bukan bersifat pendekatan ‘soft landing’ kerana strategi keluar daripada wabak Covid-19 belum sempat dihayati dan difahami masyarakat.

Biarpun diakui pelan dan langkah disediakan kerajaan itu sebagai komprehensif, namun kata beliau itu hanya di atas kertas.

“Pembudayaan amalan ‘norma baharu’ perlu sedikit masa untuk dikempen dan didoktrinkan betul-betul.

“Masa sebelum 12 Mei (tempoh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan fasa empat) di harapkan akan dimanfaatkan sebaiknya. Malangnya tiba-tiba 4 Mei ini semacam sudah ‘kembali seperti biasa’, ini yang ramai ralatkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Beliau berkata tiada negara dapat menafikan jauh lebih mudah untuk membuat keputusan menguatkuasakan satu bentuk ‘lockdown’ (perintah berkurung) atau ‘separa berkurung’ seperti PKP di Malaysia untuk menangani penularan virus SARS CoV-2 dan penyakit Covid-19.

“Yang akan menjadi pertikaian pelbagai pihak adalah ketika saat untuk mengemukakan satu pelan menamatkan PKP atau disebut sebagai ‘strategi keluar’.

“Jepun (Hokkaido), Kanada dan Singapura adalah contoh terkini menyaksikan penularan semula. Pelbagai penulisan dan dokumen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk dari Oxford mengingatkan kita bagaimana untuk keluar dari PKP,” katanya.

Jelas Dr Dzulkefly orang ramai sangat ternanti-nanti pengumuman PKP keempat tamat pada 12 Mei, dengan harapan ia benar-benar dapat mengimbangi antara kepentingan menjaga nyawa dan kehidupan.

“Tidak ada siapa yang mahu dikurung lebih daripada yang diperlukan, sementara Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan gigih melandaikan keluk epidemik.

“Beban ekonomi, kehilangan pekerjaan, kerugian syarikat dan impak sosial termasuk keganasan rumahtangga serta kemurungan tekanan jiwa, dilaporkan berlaku di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terkecuali,” kata beliau.

Namun beliau tetap mengingatkan semua pihak supaya jangan selesa dan ambil mudah kerana insiden kes baharu dari punca komuniti sendiri (kes sporadik) masih dikesan pada jumlah dua digit dan Selangor juga tidak terkecuali.

“Ingat, semua mesti amalkan jarak fizikal dan jaga kebersihan, basuh tangan, pakai topeng muka kalau batuk atau selsema. Individu dan pemilik syarikat mesti membudayakan ‘norma baharu’ segera, secara berkesan dan konsisten.

“Seperkara lagi, kerajaan-kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri atau pusat kesihatan daerah mesti mewujudkan pasukan respon pantas yang mampu melaksanakan saringan komuniti bersasar, isolasi dan rawat,” kata beliau.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam, berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, aktiviti sukan luar seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, jogging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.


Pengarang :