Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar menziarah pemuda yang terlantar di rumahnya di Seksyen 1 Bandar Baru Bangi selepas terlibat dalam kemalangan enam bulan lalu Foto Facebook Mazwan Johar
ADNSELANGOR

ADN Sungai Ramal ziarah pemuda terlantar sakit akibat kemalangan

SHAH ALAM, 8 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal mengambil keberkatan Ramadan, menziarah seorang pemuda yang terlantar sakit selepas kemalangan enam bulan lalu.

Mazwan Johar berkata, Aiman Danish Ahmad Fauzi, 21, dijaga ibu dan neneknya di rumah mereka di Seksyen 1 Bandar Baru Bangi.

“Aiman mengalami kecederaan parah, patah tulang kaki dan tangan serta beberapa bahagian lain, koma dan terlantar di hospital berminggu-minggu. Atas permintaan keluarga, dia dibenarkan dibawa balik dengan syarat ketat.

“Kena ada bilik umpama wad dalam rumah, ada katil hospital, berhawa dingin, rak alatan perubatan, peti televisyen sangkut di dinding, alat hidraulik pengangkut pesakit, kerusi roda selain rumah sentiasa kemas serta bersih,” tulisnya di Facebook kelmarin.

Simpati dengan beban ditanggung Aiman dan keluarganya, Mazwan menyerahkan sumbangan RM1,000 untuk menampung keperluan perubatan anak muda itu.

“Ayah dan datuk Aiman tiada lagi. Kakaknya telah berumah tangga dan tinggal bersama suami. Aiman adalah anak harapan ibunya namun kini terlantar atas katil,” katanya.


Pengarang :