Pengunjung Pasaraya Hero, Shah Alam beratur mengikut penjarakan sosial satu meter sebelum dibenarkan masuk ke dalam pasar raya itu pada 22 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Aplikasi SELangkah mampu jejak kontak dalam rumah

SHAH ALAM, 5 MEI: Aplikasi SELangkah diperkenalkan kerajaan Selangor yang bertujuan membantu dalam pengesanan kontak (contact-tracing) boleh juga digunakan untuk kediaman peribadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki mana-mana premis dengan mudah dan pantas.

“Tidak perlu menggunakan pen dan kertas, inilah ‘new normal’ (normal baharu),” katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata menerusi aplikasi itu pengunjung dan pelawat hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.

“Langkah masuk dengan selamat dan mudah. Aplikasi ini memudahkan pergerakan dan memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Dato’ Menteri Besar berkata pemilik premis makanan, pejabat dan perniagaan boleh mendapatkan kod QR dengan mudah iaitu mendaftar alamat di https://t.co/xoM5abWlad dan letakkan kod QR tersebut di pintu masuk.

Menerusi jawapan soalan lazim di www.amirudinshari.com semalam, inisiatif SELangkah diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan entiti perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung.‍

SELangkah bakal melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri, terutamanya apabila terdapat kes-kes yang dikesan di premis perniagaan seperti pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

Dengan sistem SELangkah, pihak kesihatan dapat mengenal pasti pelanggan lain yang mungkin terdedah kepada kes Covid-19 semasa menjalankan urusan jual-beli, supaya saringan dan ujian dapat dijalankan lebih awal.‍


Pengarang :