Mohd Rhian Ashraf Mohd Raslan,16, (kanan) dan sepupunya, Ahmad Izzat Immil, 17, memakai pelitup muka dan hidung ketika bermain bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman mereka di Taman Kenyalang pada 24 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet ucap selamat Aidilfitri, beraya kena ingat Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia yang sedih dengan sambutan Aidilfitri tahun ini yang terjejas susulan Covid-19, supaya terus bersabar.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu berharap, kesabaran tahun ini akan dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun-tahun akan datang untuk generasi masa depan seperti suasana sambutan sebelum ini.

“Kawan-kawan semua, saya faham semua berasa sedih sebab raya kali ini mungkin terjejas disebabkan Covid-19,” katanya di laman Facebook semalam.

“Saya, Wong Mew Choo dan dua anak lelaki, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul (menyusun) sepuluh jari meminta ampun serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita restart ya….Kosong-kosong,” katanya.

Pemain dari Pulau Pinang itu turut mengimbau kembali pengalaman zaman kanak-kanaknya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri rakan-rakan dan jiran serta bermain mercun meriam.

“Rumah pertama itu tak kisah rumah siapa, sah ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat. Seronoknya. Ada lagi Kuih batik! Aduhai, keluar air liur terfikir.

“Masa masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), masa raya kantin akan sediakan hidangan khas.Rombongan ramai-ramai berbaju raya serbu rumah terbuka jurulatih. Itu semua kenangan terindah,” kongsi bekas pemain perseorangan lelaki negara berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang beraya di Melbourne, Australia menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjaga jarak sosial ketika beraya dan melawat saudara-mara.

“Kalau korang semua pergi beraya beringat-ingat sikit okay, kalau boleh elakkan bersalaman, dan jika anda bersalaman jangan lupa untuk basuh tangan atau guna hand pembasmi kuman.

“Di dalam anda bersuka ria menyambut Hari Raya Aidilfitri ini jangan dilupakan dua perkara, pertama, virus Covid-19 masih berleluasa, kedua saya dan keluarga beraya di perantauan ?,” katanya, dengan berkongsi ucapan raya dan gambar bersama keluarganya serta rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Pemain bola sepak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh turut memuat naik gambar bersama ucapan raya, manakala penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berkongsi gambar hari raya bersama keluarganya.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim turut memuat naik video ucapan raya di laman Facebook rasminya, Johor Southern Tigers yang menampilkan ucapan daripada kapten pasukan Hariss Harun, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Safawi Rasid.

– BERNAMA


Pengarang :