Reza Huzairi Zainudin dan anaknya yang pernah melalui pengalaman dikuarantin di Hospital Sungai Buloh 11 hari kerana positif Covid-19.
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bekas pesakit Covid-19 tidak kongsi pinggan dengan keluarga

Paranoid, barangkali itulah yang dialami bekas pesakit Covid-19, Reza
Huzairi Zainudin selepas tamat menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Sejak kembali ke kediamannya di sebuah taman perumahan di Kuala Selangor, beliau tidak pernah berkongsi pinggan-mangkuk dengan ahli keluarganya. Turut dikuarantin bersama Huzairi dalam tempoh sama, anaknya yang berusia 12 tahun.

Langkah tersebut bagi memastikan, virus itu tidak merebak sesama mereka. Malah, beliau nekad mengamalkan disiplin tersebut selagi vaksin rawatan Covid-19 belum ditemui.

Reza sendiri tidak pasti sampai bila atau sejauh mana beliau mampu melakukannya.

“Perasaan bimbang sentiasa ada kerana virus itu ada di mana-mana dan mudah menjangkiti sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan serta penjarakan sosial.

“Tanyalah mana-mana bekas pesakit, mereka pasti memberitahu perubahan ekstrem dilakukan selepas kembali pulih,” katanya kepada SelangorKini.

Kedua-dua beranak itu berdoa agar tidak lagi dijangkiti virus itu, disyaki pun jangan. Mereka tidak mahu melalui pengalaman dikuarantin. Walau kemudahan memadai tetapi cukup terseksa, bahkan seksaan itu terasa kekal.

Rasa terasing

Reza, 42, masih ingat. Sebaik disahkan positif pada petang 3 Mac lalu, beliau mula berasa takut. Segala berita berkaitan Covid-19 yang dibaca atau terpampang di televisyen mahupun media sosial, bertali-arus di kepalanya.

Beliau berdebar-debar ketika menunggu ambulans menjelang tengah malam yang membawanya ke Hospital Sungai Buloh. Sebaik tiba di depan pintu wad pengasingan, terbit pula kebimbangan terhadap ahli keluarga yang ditinggalkan.

“Bimbang jika virus ada pada saya ini menjangkiti mereka pula. Hanya kepada Allah saya berserah dan beranggapan semua ini mempunyai hikmah sendiri,” katanya.

Reza pesakit ke-46 Covid-19 di Malaysia, antara pesakit terawal di negara ini sebelum gelombang kedua memuncak pertengahan Mac hingga mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Beliau ditempatkan bersama tiga pesakit lain termasuk anaknya kerana masing-masing mempunyai gejala ringan. Bagaimanapun, beliau tidak diberikan apa-apa ubat kerana tidak menghidap penyakit kronik sebaliknya hanya dipantau dari luar oleh petugas kesihatan.

“Ia ibarat terkurung dalam sangkar. Bila dikunci 24 jam selama 11 hari dalam bilik, tekanan perasaan ketika itu bukan main-main kerana dalam resah memikirkan diri sendiri termasuk bimbang tentang isteri serta anak-anak di rumah serta rakan sekerja.

“Pintu bilik hanya dibuka tiga kali sehari iaitu untuk menghantar sarapan, makan tengah hari dan makan malam,” kata Reza.

Selepas 11 hari , Reza bersama anaknya disahkan sembuh. Sejak itulah, mereka sekeluarga memutuskan untuk mengubah gaya hidup. Tidak lagi berkongsi hidangan, tidak pergi ke pusat beli-belah. Hanya keluar apabila perlu.

Penderma plasma

Pun begitu, Reza mengakui semua itu ada hikmah besar. Kini, beliau mahu berbudi kepada masyarakat. Ketakutannya dicucuk jarum dibuangnya jauh-jauh.

Reza kini antara penderma plasma darah untuk merawat pesakit Covid-19.

“Dulu saya tidak pernah derma darah sebab takut jarum. Sekarang kena beranikan diri kerana niat hendak membantu orang lain dan perlu juga jaga pemakanan bagi mengelakkan plasma tidak sesuai diderma,” tambahnya.

Sudah tiga kali Reza berkunjung ke Pusat Darah Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan setiap kali melalui proses menderma darah, hatinya gembira kerana baginya itulah sumbangannya kepada negara dan cara membalas jasa petugas kesihatan.

Beliau terpilih kerana antibodinya kuat dan sesuai untuk proses pengasingan plasma daripada darah bagi dijadikan serum merawat Covid-19. Beliau dikatakan penderma pertama dalam kalangan bekas pesakit Covid-19.

“Allah gantikan kesedihan dijangkiti Covid-19 dengan kegembiraan dapat membantu insan memerlukan,” kata Reza yang sentiasa berfikiran positif dan terbuka berkongsi pengalamannya untuk manfaat orang ramai.


Pengarang :