Selangorkini
Reaksi isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bicara kes rasuah projek solar Rosmah bersambung 13 Julai

ccsb-ads

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak, akan bersambung selama 31 hari di Mahkamah Tinggi di sini bermula 13 Julai depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan bahawa pihak-pihak terlibat telah berbincang tarikh-tarikh yang sesuai untuk perbicaraan kes berkenaan.

Tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan ialah 13 sehingga 16 Julai; 3 hingga 6 Ogos; 17 hingga 19 Ogos; 7 hingga 10 Sept; 14 hingga 17 Sept; 5 hingga 8 Okt; 2 hingga 5 Nov dan 16 hingga 19 Nov.

Perkara itu turut disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir mewakili Rosmah, yang dikecualikan hadir ke mahkamah hari ini.

Poh berkata pihak pendakwaan akan memanggil sembilan lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu dan tiga lagi penyataan saksi akan diserahkan kepada pihak pembelaan hujung bulan ini.

Setakat ini, 12 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dan apabila perbicaraan bersambung pada 13 Julai, pihak pembelaan akan meneruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-12, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (MOE) Datuk Seri Alias Ahmad.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 9 hingga 11 Jun, 6 hingga 9 Julai, 13 hingga 16 Julai dan 20 hingga 23 Julai untuk menyambung perbicaraan kes berkenaan.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sebelum ini sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan, namun pada 8 Jan lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan.

– BERNAMA


Pengarang :