Pelajar Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nur Zulaikha Romzi 21 (kiri) bersama rakannya mengemas pakaian ketika membuat persiapan awal sebelum mendapat kebenaran pulang ke kampung halaman selepas tinggal di asrama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Boleh jemput anak dari kampus, gerak dalam negeri sahaja

PUTRAJAYA, 6 MEI: Ibu bapa pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) termasuk politeknik dan kolej komuniti dibenarkan menjemput anak mereka pulang dari kampus ke kediaman masing-masing bermula hari ini (6 Mei).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata kebenaran itu terhad kepada pergerakan di dalam negeri sahaja.

“KPT ingin mengingatkan sekali lagi bahawa urusan ini hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan pergerakan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia, di samping mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, kebenaran itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam (5 Mei).

Ibu bapa dan pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6628/ 6623/ 6124.

– BERNAMA


Pengarang :