Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan laksana PKP di kawasan catat jangkitan mendadak

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan yang mencatatkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah di kawasan yang dikenal pasti berlaku peningkatan kes jangkitan.

“Jika ada kenaikan mendadak, kita akan membuat PKP secara pentadbiran dahulu seperti di Chow Kit. Kalau berlaku peningkatan lagi, mungkin kawasan itu akan dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) pula.

“Sekarang kita sasarkan kawasan berkenaan (jangkitan mendadak) berdasarkan lokaliti dan kluster,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PKP secara pentadbiran bermaksud pihak berkuasa akan melakukan pemantauan di sesebuah kawasan yang mempunyai jangkitan Covid-19 sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk melaksanakan PKPD.

Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah akan dilaksanakan kerajaan susulan pertambahan zon merah daripada sembilan kepada 10 kawasan semalam termasuk Petaling.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan sentiasa memantau jumlah kes positif di mana-mana kawasan termasuk di Petaling.

“Kalau kita lihat dari dulu Petaling ini memang kawasan merah kerana ada dua kawasan jadi merah iaitu Seri Petaling dan Lembah Pantai. Tetapi tumpuan kita bukan seperti dahulu, bukan seluruh Petaling tapi di kawasan dikenal pasti saja,” katanya.


Pengarang :