Rumah api di puncak Bukit Malawati antara kesan tinggalan sejarah di lokasi berkenaan. Foto arkib Selangorkini
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Kuala Selangor capai status zon hijau

SHAH ALAM, 16 MEI: Kuala Selangor menjadi daerah terbaharu di negeri ini diisytihar sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19 hari ini.

Daerah itu yang mencatatkan sifar kes di semua mukim menjadi daerah kedua mencapai status tersebut selepas Kuala Langat.

“Tahniah Kuala Selangor kerana dengan Mukim Tanjong Karang yang telah bersih dari kes aktif, menjadikannya sebagai daerah kedua berstatus zon hijau,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook malam ini.

Enam daerah berada dalam zon kuning iaitu Hulu Langat (39), Gombak (12), Klang (11), Hulu Selangor (lapan), Sabak Bernam (tiga) dan Sepang (satu).

Petaling pula masih kekal di zon merah dengan merekodkan 48 kes aktif.

Dalam pada itu, STFC turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada pertambahan kes baharu di kawasan masing-masing.

“Ingat dan berjaga-jaga, pertahankan kawasan anda dengan patuh penjarakan sosial, menjaga kebersihan dan pakai pelitup muka.

“Selangor yang sihat bergantung kepada perlakuan anda. Jika anda sendiri cuai, anda akan tanggung akibat buruknya nanti,” tulisnya.


Pengarang :