Penduduk berdiri di koridor asrama Selatan Tuas yang menempatkan perkerja asing yang dikawal ketat kerajaan Singapura ekoran penularan wabak Covid-19 pada 19 April 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 17 kematian, keseluruhan 17,548 kes

SINGAPURA, 3 MEI: Singapura mengesahkan 447 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat semalam dengan dua kematian Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 17,548 dan 17 korban.

Dalam kenyataan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH), berkata mangsa terbaru, seorang lelaki rakyat Singapura berusia 76 meninggal dunia di Hospital Besar Changi, Jumaat.

Dilabel sebagai kes 1,323, mangsa itu duji positif Covid-19 pada 6 April dan mempunyai sejarah menghidap barah, kata MOH.

Sementara itu, MOH melaporkan satu lagi kematian pada hari sama iaitu seorang lelaki warga Bangladesh.

Bagaimanapun, lelaki itu, yang merupakan kes 17,410, disahkan dijangkiti Covid-19 setelah beliau meninggal dunia.

“Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kematiannya,” menurut MOH.

MOH juga melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan merupakan antara kes positif baharu semalam.

Pesakit kes ke-17,267 itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak itu dan kini dirawat di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Wanita berusia 27 tahun, yang bekerja sebagai jurukemas NUH, disahkan dijangkiti Covid-19 pada 30 April lalu dan tidak bekerja sejak mempunyai gejala penyakit itu,.

Sehingga kini, MOH melaporkan seramai 1,347 pesakit sudah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti manakala 24 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada kes baharu semalam, enam adalah kes dalam komuniti, 10 pemegang permit kerja yang menginap di luar asrama pekerja dan 431 adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama.

-BERNAMA


Pengarang :