Selangorkini
Thailand menutup pintu sempadan antara Malaysia sebagai usaha menyekat penularan Covid-19.
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand lanjut tempoh darurat hingga 30 Jun

BANGKOK, 26 MEI: Thailand melanjutkan tempoh perintah darurat untuk kali kedua hingga 30 Jun, ketika kerajaan negara itu bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan dan membuka kembali lebih banyak perniagaan dalam fasa ketiga pada Ahad.

Jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat berkata, kabinet hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh perintah darurat untuk memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai, dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha menegaskan tiada agenda politik di sebalik pelanjutan tempoh perintah darurat berkenaan.

“Akta Penyakit Berjangkit tidak akan menjadi satu-satunya alat untuk mengekang wabak,” katanya pada sidang media di Rumah Kerajaan, hari ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CSSA) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dan mempertimbangkan, untuk melonggarkan tempoh sekatan dan membuka semula lebih banyak perniagaan dan venue-venue pada Jumaat (29 Mei).

Media tempatan melaporkan pihak pembangkang meminta pelanjutan tempoh perintah darurat dibatalkan memandangkan Thailand terus mencatat jumlah kes Covid-19 yang rendah. Mereka mendakwa ia adalah agenda tersembunyi pemerintah, untuk menyekat aktiviti politik di negara itu.

Perintah darurat itu turut melibatkan larangan untuk berkumpul. Pihak pembangkang mendakwa langkah berkenaan adalah untuk menghalang berlakunya protes terhadap kerajaan.

Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Kerajaan Thailand mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan venue dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.

Sementara itu, Thailand telah melaporkan tiga kes Covid-19 baharu dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 3,045 kes dengan 57 kematian.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata, ketiga-tiga kes baharu itu adalah warga Thailand yang kembali dari luar negara dan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di fasiliti milik kerajaan.

– BERNAMA


Pengarang :