Imam Masjid Negeri Muttaqin Mohd Fakiri (kanan) membaca doa selepas mengimamkan solat Jumaat ketika tinjauan di Masjid Negeri, Seremban pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua bulan tangguh ekoran PKP, solat Jumaat kembali dilakukan

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Setelah lapan minggu solat Jumaat dan solat berjemaah tidak boleh dilakukan di seluruh negara ekoran penularan Covid-19, hari ini umat Islam dibenarkan untuk melaksanakannya secara berperingkat meliputi masjid dan surau terpilih dalam zon hijau.

Pelaksanaan solat Jumaat harus dilakukan berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya mengehadkan bilangan jemaah bagi mengelakkan kehadiran orang ramai secara mengejut untuk melaksanakan solat di masjid.

Di ibu kota, tinjauan Bernama mendapati sejurus tiba di pintu masuk Masjid Negara, pengawal meminta jemaah untuk mengisikan butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid berkenaan.

SOP sama terus dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat dengan jemaah perlu sekali lagi melakukan proses berkenaan.

Di dalam dewan solat, kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.

Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Khutbah hanya dibacakan tidak lebih daripada 15 minit dan tiada solat sunat Rawatib Qobliyah dan Ba’diyah dilaksanakan bagi memendekkan tempoh pelaksanaan keseluruhan solat Jumaat.

Di PERLIS, sebanyak 105 buah masjid di negeri itu mula melaksana solat Jumaat bersyarat selepas negeri itu mengeluarkan kebenaran solat Jumaat bersyarat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 8 Mei lalu.

Solat Jumaat juga perlu dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih 15 minit termasuk khutbah disertai oleh tidak lebih 12 orang jemaah termasuk imam.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membaca khutbah bertajuk ‘Kesabaran Dalam Menghadapi Musibah’ di Masjid Negeri, Arau yang diimamkan oleh Imam Besar Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Di SELANGOR, tinjauan di tiga masjid sekitar Shah Alam yang dibenarkan untuk dilakukan solat Jumaat mulai hari ini mendapati tiada jemaah dalam kalangan orang awam hadir ke rumah ibadah itu selaras dengan ketetapan yang diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam.

Tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau masjid negeri mendapati hanya satu pintu pagar dibuka untuk membenarkan AJK masjid dan imam masuk namun dikawal oleh penguat kuasa JAIS serta pengawal keselamatan rumah ibadah terbabit.

Jemaah masjid menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Masjid Sultan Azlan Shah pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Di PERAK, Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata kerinduan untuk mengimamkan solat Jumaat selama hampir dua bulan terubat hari ini.

Beliau bercadang untuk membuat penggiliran jemaah memandangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hanya membenarkan 12 orang termasuk imam dan khatib selain ahli jawatankuasa (AJK) kariah masjid untuk solat Jumaat.

Katanya pengiliran itu wajar dipertimbangkan memandangkan terdapat AJK masjid atau surau Jumaat yang telah berumur 60 tahun ke atas dan jika menurut syarat MAIPk, individu pada usia tersebut tidak digalakkan hadir berjemaah.

Di JOHOR, tinjauan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru mendapati kesemua 12 jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan negeri.

Mereka yang terdiri daripada imam satu, imam dua, bilal, noja serta lapan AJK kariah, perlu melalui dua saringan suhu badan di pintu pagar masjid dan di pintu masuk masjid berkenaan selain mematuhi jarak sosial di dalam masjid.

Imam Tua Masjid Sultan Muhammad II Ahmad Yunoh (kiri) mengimamkan solat Jumaat di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, antara jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan.

Baginda diiringi kekanda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser dan adinda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah tiba di masjid itu pada 1 tengah hari dengan disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan pentadbiran negeri.

Seramai 40 jemaah yang diletakkan dalam kedudukan satu meter antara satu sama lain menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam 1 Mohd Khalil Mohd Zari dengan khutbah disampaikan Imam Besar Datuk Badli Shah Alauddin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata selain masjid negeri, dua lagi masjid di Pahang yang memperoleh kebenaran mengadakan Solat Jumaat hari ini ialah Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, semuanya di Kuantan.

Di KELANTAN, solat Jumaat hari ini dilakukan oleh empat pegawai masjid terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal dan siak tanpa kehadiran orang awam.

Tinjauan Bernama di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Kota Bharu di sini, mendapati jemaah mengikuti SOP termasuklah waktu solat selama 15 minit dan jarak sosial.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 12 jemaah hadir di Masjid Negeri, Seremban bagi menunaikan solat Jumaat sepertimana yang ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan diketuai Imam Masjid Negeri, Muttaqin Mohd Fakiri.

Beliau menyampaikan khutbah bertajuk “Hidupkan Ramadan Bersama Keluarga’ turut mengingatkan jemaah untuk menggunakan kesempatan Ramadan bagi memperbaiki diri serta ahli keluarga ke arah kehidupan yang lebih bermakna, selesa dan terpelihara keselamatannya.

-BERNAMA


Pengarang :