AGENSISELANGOR

Jemaah tunai solat Jumaat mesti amal jarak dua meter

SHAH ALAM, 14 MEI: Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid bermula esok perlu mematuhi penjarakan sosial dua meter bagi mencegah jangkitan Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata pengurusan masjid juga perlu membuat saringan suhu dan bacaan lebih 37.4 darjah Celcius tidak dibenarkan masuk.

“Pegawai dan jawatankuasa berumur 60 tahun ke atas tidak dibenarkan bersolat di masjid, menggunakan pelitup muka dan merekodkan penggunaan dalam buku.

“Pegawai dan jawatankuasa yang bergejala batuk, demam, selsema dan sakit tekak tidak dibenarkan hadir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengurusan masjid perlu menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk dan keluar serta jemaah harus membawa sejadah dan mengambil wuduk di rumah.

Mohd Shahzihan turut meminta jemaah segera meninggalkan masjid usai solat Jumaat dan memastikan tiada jemaah lain hadir.

“Pengurusan masjid perlu membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan Jais dan membaca doa memohon keselamatan dan perlindungan daripada Allah SWT agar negeri dan negara dilindungi daripada musibah serta jangkitan wabak,” katanya lagi.


Pengarang :