Penghuni Nooriza Ariffin meletakkan notis tidak menerima tetamu bagi sambutan Aidilfitri pada 25 Mei 2020 susulan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jumlah kompaun rendah, rakyat patuh arahan elak ziarah Aidilfitri

SHAH ALAM, 26 MEI: Rakyat didapati patuh dengan arahan kerajaan supaya mengehadkan aktiviti ziarah pada sambutan Aidilfitri, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia terbukti apabila hanya 31 kompaun dikeluarkan polis susulan ingkar arahan tersebut, semalam.

“Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan rakyat Malaysia, jadi saya fikir mereka patuh dengan saranan kerajaan.

“Pada masa sama, jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung juga menurun semalam kepada 738 kenderaan berbanding 1,243 kelmarin,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tiada lagi aktiviti ziarah dan menegaskan polis akan membuat pemantauan sekiranya terdapat aduan serta dikompaun serta-merta.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan aktiviti ziarah pada setiap perayaan dalam masa terdekat hanya pada hari pertama sahaja, terhad kepada 20 orang terdiri daripada ahli keluarga terdekat.


Pengarang :